Tuesday 23 February 2010

Kg Telok Gelam

Sebuah kampung pendalaman sekitar tahun-tahun 50an dan 60an. Terpisah oleh kedudukan geografi dng persekitaran kebun getah persendirian di sebelah barat dan utara manakala tanah sawah bertelok serta kebun getah raja di timur . Di bahagaian selatan ialah sawah padi yang mengunjur sehingga ke Kepala Batas.
Perkampungan jiran terdiri dari Kampung Naga arah ke Barat, Kampung Lubuk Kawah di utara, Kem Tok Jalai di timur dan Kepala Batas di Selatan.
Penduduknya dari kalangan pesawah dan penoreh getah. 20 peratus adalah keluarga China yang mendiami pinggir kebun getah bersempadan dengan Kg Lubuk Kawah. Mereka adalah peniaga dan usahawan.
Di kampung ini lah saya dilahirkan. Membesar sebagai budak kampung sehingga mencecah usia 19 tahun . Selepas STP, dalam bulan Julai 1978, buat pertama kalinya saya meninggalkan kampung ini serta keluarga. Berdagang mencari ilmu dunia di ITM Shah Alam ( kini UiTM).
Walaupun cuma 19 tahun saya hidup dalam persekitaran ini, namun tempuh ini menjadi paling bermakna sepanjang hayat. Memang sukar melupakan kampung ini. Penduduknya. Kawan-kawan. Pokok-pokok getah dan sawah padi. Wau daun ibus. Pohon pohon keriang, muyu, keriang dot, rumbia, stag, remia, setoi, pelam, goncag, rotan, ara, cenderai, letup, letup kelambu, pupog - semua buah-buah eksotik yang telah pupus sebahagiannya.
Keluarga saya tinggal dalam sebuah rumah kampung kuno. Dinding dibuat dari buluh yang dianyam. Atap rumbia. Tiang pokok tembusu. Rumah itu dibina di penjuru sebidang tanah milik jiran saya yang baik hati. Di hadapan rumah kami terdapat sepohon pokok asam jawa saka yang kekal sehingga harini. Di belakang pula terdapat sebatang pokok keranji sebesar tiga pemeluk dan paling tinggi dalam kampung ini.
Pada bulan September 1978 ketika balik cuti semester, pokok keranji tersebut telah tumbang, tepat menghempap rumah kami dan meranapkan samasekali bahagian anjung. Mujur semua ahli keluarga berada di dapur. Tetapi bapa saya yang berada di bawah rumah mengalami cedera agak teruk dan dirawat di hospital Alor Setar seminggu.
Masih jelas dalam ingat, emak saya pengsan dalam pelukan saya ketika jiran mengeluarkan bapa
saya dari runtuhan rumah dan serpihan dahan pokok. Memang berpantang maut sebelum ajal. Apa yang menyelamatkan bapa saya ialah cabang pokok tersebut yang terbenam dalam tanah lalu membentuk satu ruang kecil dimana bapa saya tersepit. Tidak seorang pun menyangka bapa selamat kalau melihat kepada keadaan rumah yang lebur dan pokok yang besar itu.
Selain pokok asam jawa dan keranji, terdapat pokok setoi, dudog, machang, mertajam, janggus dan putat. Begitu juga buluh betong dan buluh duri. Pendek kata, kampung Telok Gelam lengkap sebagaimana sebuah kamapung Melayu tradisional.
Untuk sampai ke Kampung Telok Gelam, seseorang perlu bermula dari Pekan Tok Jalai, melalaui kem tentera, kebun getah raja dan melintasi batas sawah. Pada zaman dulu, tiada jalan tar. Jalannya denai tanah merah yang berdebu pada musim kering dan berselut pada musim hujan.
Tiada juga bekalan letrik dan air paip. Penduduk menggunakan pelita minyak tanah dan air perigi. Kalau hendak menonton TV kami akan pergi kerumah rakan-rakan di dalam kem.
Dalam persekitaran ini lah saya membesar sehingga saat meninggalkan kampung, keadaan tidak berubah. Kampung ini menerima kemajuan ketika saya dirantau orang. Saya tidak sempat melihat fasa-fasa pembangunan yang berlaku. Apabila pulang sekali sekala, saya mendapati semuanya semakin berubah. Dan hariini, perubahan amat jelas sekali - rumah kelahiran saya juga sudah tidak ada. Bekas tapaknya telah ditumbuhi semak. Yang tinggal hanya pohon asam saka - tetap seperti puluhan tahun dulu...

Monday 8 February 2010

kisah sedih

Hari Khamis malam Jumaat lalu, adik perempuan kepada biras saya, iatu adik abang ipar isteri saya telah kembali ke rahmatullah. Kematian bukan perkara aneh. Tapi cerita disebalik kematian itu yang adakalanya memilukan.
Arwah adalah seorang isteri dan perempuan yang sangat sabar. Pergi meninggalkan dua anak perempuan yang masih belajar. Sehingga saat akhir tidak siapa tahu penderitaannya sehinggalah sudah tiada.
Takdir menentukan ia hidup bermadu. Menjadi isteri nombor dua. Namun ia reda walaupun dibenci dan dimusuhi madunya, isteri nombor satu. Dia mengambil jalan mendiamkan diri tetapi sering membantu madunya dalam diam-diam. Apa-apa sikap permusuhan madunya dibalas dengan rasa sabar dan sikap tolak ansur dan mengalah.
Kehidupan ini berjalan dengan aman sehingga suaminya berkahwin lagi - madu tiga. Pun dia menerima dengan tabah kerana ia biasa berkongsi kasih. Malangnya dengan isteri ketiga, ia tidak mendapat pembahagian kasih seperti sepatutnya. Suami lansung tidak balik dn tidak peduli.
Ia hidup sendirian menanggung sepi seorang diri dirumahnay dipinggir KL. Kedua-dua anak perempuannya tinggal di asrama. Tekanan hidup yang hebat ini dan kesunyian yang menyeelinap dirinya telah memberi impak keatas kesihatan dengan hebat.
Pada hari Khamis , ia jatuh kerana sakit dada dan apabila dibawa ke hospital oleh jiran-jirannya, ia menghadapi sakit jantung kronik walaupun sebelum ini tiada tanda-tnada ia seorang pesakit jantung.
Doktor cuba menyelamatnya tetap takdir Allah tiada yang dapat menghalangnya. Malam Jumaat, ia pun menghembus nafas terakhir.
Adik beradik yang lain berkeras tidak mahu memberitau suaminya. Namun biras saya berjaya memujuk dan suaminya daatang menziarah dengan linangan airmata. Kita tidak tau untuk apa airmata itu tetapi kisah begini sudan semakin menjadi kebiasaan dalam kehidupan masyarakat kita. Berkahwin dua, tiga atau empat di bolehkan dalam Islam, tetapi jika tidak mampu, kahwin satu sudah memadai.
Namun, berkat kesabaran arwah menanggung semuanya dengan tabah dan sabar, Allah memilih memanggilnya kembali pada hari yang mulia - hari Jumaat. Riwayat menyebut tidak semua orang mendpat kelebihan mati pada hari Jumaat kerana barang siapa yang mati pada hari Jumaat, maka ianya terselamat dari semua fitnah kubur sehingga datangnya kiamat.