Monday 19 April 2010

TENTANG KEBUN GETAH

Seperti bendang, kebun getah turut mewarnai kehidupan kanak-kanak saya. Bau sekerap, gigitan nyamuk, pelita kabaid dan ular kapak adalah asam garam yang perlu dihadapi setiap hari. Saya belajar motong getah dengan emak secara curi curi dari pengetahuan tauke Ah Piau kerana orang yang tidak pandai motong akan merosakkan pokok getah.
Seawal kokok ayam, bapa akan bangun mengasah pisau motong getah. Emak akan menyediakan sarapan keluarga. Selepas subuh, kami akan mengandar baldi meredah kesamaran menuju kebun Cina Ah Piau kira kira setengah kilometer dari rumah.
Menjelang tengahari, kami akan mengandar susu getah untuk dibekukan di gudang hujung kampung. Selepas zohor, getah akan membeku dan terpaksa pula di giling menjadi leper. Getah keping leper kemudian di sidai seperti kain supaya kering sebelum disimpan dibawah rasuk rumah. Apabila genap sebulan lori Ah Piau akan datang mengambil.
Adakalanya, getah yang disimpan dicuri orang dan kami sekeluarga tidak memperolehi apa-apa dan terpaksa berhutang dengan Toke Ah Piau. Apapun alasan, toke Cina itu banyak membantu kehidupan saya semasa kanak-kanak. Bahkan semasa hendak melanjutkan pelajaran ke ibu kota juga, dia lah yang memberi hutang sebahagian wanag yang diperlukan. Kini penoreh getah tidak perlu melakukan kerja-kerja demikian kerana peraih akan membeli getah beku atau getah sekerap. Tiada lagi getah keping seperti dulu.
Semasa dalam tingkatan 3, pada suatu petang, ketika berjalan ditepi kebun getah saya pernah dipatuk ular kapak. Alhamdulilah. Saya sempat mengesan tempat gititan, memicit darah dan bisanya keluar dan mengikat kaki kiri saya dengan baju sebelum menjerit minta bantuan. Jiran saya, abang Omar segara datng dan mendukung saya melintasi bendang untuk mendapatkan bantuan kereta Volvo 144 Cina Bakun dan membawa saya ke hospital Alor Setar. Bahana patukan itu, saya di wad 7 selama hampir sebulan. Sebahagian mangsa lain saya lihat ada yang terpaksa dipotong kaki, atau tangan atau meninggal dunia oleh patukan ular kapak ini. Ular yang kecil, diam tapi amat berbisa.
Pada musim angin monsun timor laut bertiup, cuaca di utara menjadi panas pada waktu siang dan sejuk pada waktu malam. Daun daun getah berguguran meninggalkan ranting ranting. Daun yang gugur menjadi garing. Bahang panas ini selalu menyebabkan kebakaran. Pada musim ini lah bapa terpaksa bekerja keras menjaga kebun Ah Piau agar tidak terbakar. Jika berlaku kebakaran, pokok getah akan mati dan punca pendapatan keluarga akan terjejas.
Ia adalah musim yang sangat perit. Selain ancaman kebakaran, susu getah pada musim ini sangat sedikit. Semua detik ini saya lalui dengan gembira kerana zaman kanak-kanak memang tiada erti kesusahan dalam kamus hidup kita.