Friday 18 June 2010

KEM TOK JALAI

Sekitar tahun tahun 60an dan 70an, Kem Tok Jalai diduduki oleh 3 Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Kepala Batas. Di dalam kawasan kem ini dibina sebuah sekolah dinamakan Sekolah Kebangsaan Anak-Anak Angkatan Tentera Tok Jalai. Oleh kerana jumlah murid-murid tidak mencukupi dari kalangan anak-anak anggota tentera, maka dibukakan tempat untuk anak anak orang kampung disekitar. Antara kampung kampung tersebut ialah Kampung Teluk Gelam, Kamapung Lubuk Kawah, kampung Tanjung Kapor, kampung Tok Jalai, Kampung Alor Rambai dan Kampong Pelubang.
Kem Tok Jalai melitupi satu kawasan terbuka ditengah-tengah kebun getah dan mengunjur kepinggir sawah hala ke Barat. Laluan utama untuk kekampung Teluk Gelam, Lubuk Kawah dan Tanjung Kapor merentas kawasan kem ini. Keadaan ini mengujudkan satu hubungan sosial yang akhrab dikalangan anggota tentera dengan orang orang kampong.
Pada ketika itu semua kampung kampung tersebut masih belum ada bekalan letrik. Orang orang kampong khususnya golongan muda mudi menjadi kan kem tempat mereka menumpang menonton TV. Tiap tiap malam orang-orang kampong berbondong bondong keluar ke kem untuk maksud itu. Peti TV di letak ditingkat bawah bangunan lima tingkat yang menempatkan anggota TUDM. Saya ketika itu sangat gemar menonton siri TV cerita Samurai dengan The Gallant Man. Masih hangat dalam ingatan, saya bersama rakan sekampung Che Lah Md Din kerap ponteng mengaji Qur'an di rumah Pak Long Ku Ahmad kerana nak menonton siri ini. Che Lah sekarang bertugas sebagai Timbalan Pengarah JAPIM.
Kem Tok Jalai juga tempat saya mengasah bakat berniaga. Pada waktu itu Cina Ah Kau menjual ikan dan sayuran menggunakan pikup dari berek ke berek. Barang jualan nya tidak merangkumi sayuran kampung dan ikan air tawar. Saya tahu ramai kalangan anggota tentera berasal dari kampung dan mereka pasti gemar makanan jenis kampung.
Suatu hari saya berjumpa Ah Kau dan minta menumpangnya untuk berniaga sayur kampung seperti ulam ulaman dan ikan sawah. Ah Kau membenarkan dan alangkah gembiranya hati saya.
Saya membuat satu tong kecil dari papan sayung kemudian mengikatnya diatas basikal lanca bapa. Selepas waktu subuh, saya meronda kampung memetik pucuk pucuk ulam seperti janggus, putat, kadok, jantung pisang, daun pisang, keladi, pucuk samak yang tumbuh bersepah di pinggir kebun. Selain itu saya juga mendapat bekalan sayur yang ditanam dari huma bapa di atas tanah resab terdiri dari putik jagung, pucuk labu, cabai melaka, maman,bayam dan sebagainya. Ikan-ikan juga tidak ketinggalan seperti ikan haruan,keli, puyu, sepat benua dan sepat ronggeng. Selain yang segar, saya minta emak buat pekasam dan kering juga. Nilai jualan harian saya RM5.00. Sebelum pukol 10 pagi semuanya loncong liau tiap tiap hari. Tengahari saya kesekolah macam anak orang kaya.
Kem Tok Jalai juga banyak menyimpan kenangan semasa sekolah saya. Saya mempunyai seorang rakan anak kepada seorang askar bernama NorHashim Hamzah berasal dari Tanah Merah Kelantan. Dia ketua darjah saya dan kami sangat akhrab. Saya selalu pergi kerumahnya. Makan , minum dan menonton TV. Emak Norhashim selalu menghadiahkan saya pakaian-pakaian kerana melihat pakaian saya yang selalu lusuh dan koyak. NorHashim pula gemar ke rumah saya kerana suka meminum air yang emak simpan di dalam buyong untuk minuman keluarga. Selain Norhashim, rakan saya yang tidak dapat dilupakan sabit dengan kem Tok Jalai ialah Ramlan Husin. Saya selalu lepak di rumahnya yang dibina diatas tanah resab kem. Pak Husin dan Mek Som sangat rajin berkebun. Saya selalu makan ubi kayu bakar di rumah Ramlan. Hubungan saya dengan keluarga Ramlan tetap kekal hingga hari ini. Saya masih menziarah kawan saya apabila ia berpindah ke Perak dan juga menziarah Mek Som di Machang, Kelantan setelah Pak Husin meninggal dunia. Malangnya saya masih gagal menjejaki Nor Hashim Hamzah. Saya harap suatu hari Allah akan menemui kami.