Sunday 29 August 2010

BALIK KAMPONG

Mood hariraya sudah terhidu. Semua perantau mula resah. Virus balik kampung telah menular. Bandar besar seperti KL bakal sejat dengan kenderaan. Sebaliknya semua lebuhraya dan jalan jalan akan sesak dengan kenderaan. Satu fenomena tahunan yang sudah di jangka.
Saya memilih untuk tidak balik beraya di kampung tahun ini. Pertama kali dalam sejarah perantauan saya sejak 32 tahun lalu. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana kesayuan yang akan menyerkup suasana pagi hariraya kerana tidak dapat bersama adik beradik dan saudara mara di kampung halaman asal usul saya.
Semasa kedua arwah ayah bonda masih ada, balik beraya di kampung adalah agenda wajib. Ketika ayah tinggal seorang selama 10 tahun selepas bonda pergi, saya tetap balik dengan menumpang rumah abang atau adik. Selepas ayah pergi dan anak anak semakin membesar ditambah pula keluraga abang abang atau adik adik juga turut membesar, maka saya balik tetapi menyewa homestay di sekitar Jitra. Jika di kenang, memang lah jauh bezanya. Beraya dikampung sendiri tetapi dalam keadaan terasing. Apatah lagi pada saat pagi hariraya tidak dapat tidak saya pasti akan terkenang suasana hariraya bersama kedua ayah bonda dulu.
Selama di perantauan, saya menggunakan berbagai jenis kenderaan untuk balik kampung. Masa mula mula dulu naik keretapi. Kemudian bas express. Selepas itu menunggang scramler. Terakhir sehingga kini dengan memandu kereta. Semuanya mempunyai kenanagan tersendiri.
Pada tahun tahun lapan puluhan, lebuhraya PLUS tidak sepenuhnya lengkap. Perjalanan menggunakan jalan persekutuan mengambil masa sehingga sembilan jam. Jika musim perayaan boleh bertambah menjadi dua puluh empat jam.
Nikmat balik kampung yang paling kick tang perjalanan tu lah. Singgah minum dan makan di tepi jalan. Borong apa apa yang ada di jual sepanjang perjalanan.
Saya biasanya memulakan perjalanan pada waktu malam. Selepas tengahmalam. Jalan ketika itu agak sunyi dan lengang. Pemanduan lebih lancar tanpa gangguan pengguna jalanraya jarak dekat. Lagi pun cuaca malam lebih sejuk dan cahaya silauan terik matahari yang menyebabkan mengantuk dapat di elakkan.
Bagaimanapu nampaknya tahun ini saya terpaksa melupakan agenda balik beraya di kampung. Terasa juga pilu di hati apatah lagi raya tahun ini merupakan yang pertama sejak saya berjaya mengumpul kembali rakan-rakan sekolah dulu. Beberapa orang rakan telah pun merancang untuk membuat jamuan hariraya alumni dan pastinya meriah dapat bersama mereka. Apapun, saya cuma tumpang gembira dari jauh.. InsyaAllah jika panjang umur tahun depan boleh berjumpa semula. Mudah mudahan di izinkan Allah.