Tuesday 22 February 2011

CERITA CINTA

Siapa pernah jatuh cinta? Siapa pernah putus cinta?
Sering saya terdengar keluh kesah dan rintih pilu anak anak muda yang jatuh cinta dan putus pula. Ada yang sampai menjejas kehidupan harian. Memporak peranda hubungan kekeluargaan. Sanggup melakukan sesuatu melampaui batas batas kewarasan. Sehingga ke tahap nyawa pun tiada berharga. Apakah begitu mahal nilai sebuah cinta?
Saya jatuh cinta untuk pertama kali semasa dalam tahun dua di IPTA. Gadis molek itu berasal dari Johor Bharu. Kejatuhan yang berpunca dari hanya sebuah persahabatan.Perasaan cinta itu datang seperti ombak melanda pantai. Tidak dapat di tolak dengan apa sekalipun. Wajahnya. Suaranya sentiasa bermain dalam ingatan. Orang kata mandi tidak basah. Makan tidak kenyang. Belajar pun tidak senang. Malangnya buah hati saya itu sebenarnya kekasih orang. Kami terpaksa membuat pilihan dan siapa yang pernah putus cinta, mereka akan dapat merasai betapa peritnya jiwa dalam pertarungan memulihkan dukalara.
Apapun, ia tidak sepatutnya menjadi noktah kepada sebuah perjuangan. Apa lagi penghujung sebuah kehidupan. Tidak wajar samasekali kita membiar diri musnah kerana cinta. Cinta boleh datang dan pergi. Cinta sesama insan tidak kekal. Paling hebat pun, sehingga tiba saat kematian, mereka akan berpisah jua. Setiap manusia perlu ingat hakikat ini. Yang patah biar tumbuh. Yang hilang biar berganti. Proses kehidupan memang macam tu. Kita tidak perlu risau dan kecewa.
Saya membawa diri seketika. Didatangi lagi seseorang ketika dalam tahun akhir. Walaupun tidak mau terlibat, api cinta ini tidak memilih mangsa. Kisah berulang lagi. Kekasih hati kepunyaan orang. Namun kekecewaan kedua tidak lah parah. Alah bisa. Saya boleh menerima kekecewaan ini dengan tenang tanpa sedih pilu. Perlahan lahan ia menjadi satu imunisasi berguna menghadapi hari hari mendatang.
Cinta datang lagi dan pasti akan ada. Kali ini dia datang dan saya menolaknya. Disusuli lagi beberapa kedatangan yang semuanya saya menolak. Ketika ini baharu saya dapat memahami keresahan dan serba salah serta rasa perit menolak cinta. Lebih payah berbanding putus cinta atau cinta di tolak. Bagaimana kita mau menerima cinta orang yang kita tidak dapat mencintai mereka? Sesiapa yang tidak dapat menerima hakikat cintanya tertolak, mereka patut melalui pangalaman menolak cinta orang! Sebab itu saya tidak pernah marah dan benci atau berdendam dengan mereka yang terpaksa menolak cinta saya. Terima saja sebagai bukan jodoh kerana hakikatnya ia telah ditetapkan Allah sejak azali. Kegagalan kisah cinta kita sebenarnya hanyalah antara beberapa siri ujian yang telah ditetapkan kepada kita.
Akhirnya pada usia 30 tahun saya menemui seorang gadis. Dia menerima dan membalaskan cinta saya. Kami semai benih cinta itu dengan ikatan perkahwinan. Tidak perlu risau dan kecewa. Tiba ketikanya jodoh kita akan menjelma juga.
Mudah-mudahan Allah merahmati perkahwinan kami sepanjang hayat dan selama-lamanya.