Saturday 1 October 2011

MENONGKAH ARUS

Membesar sebagai budak kampung, kami melalui persekitaran yang serupa. Sistem nilai dalam masyakat Melayu pendalaman ketika itu hampir semuanya menghendaki anak anak mereka belajar untuk menjadi kakitangan kerajaan atau ulamak. Antara bidang common yang menjadi sebutan orang kampung dan mendapat sanjungan mereka ialah jawatan ADO, Laywer, Engineer, Doktor dan Guru disamping kerani, tentera dan polis. 
Berkali kali emak berpesan kepada saya 
" jangan hang jadi macam mak..kerja dok bilang pokok getah dan main lanyau dalam bendang"
Persepsi masyarakat terhadap penjawat awam ketika itu amat lah tinggi. Semua orang berebut untuk menjadi kakitangan awam. Bermenantu atau bersuami orang penjawat awam. Jika ada sesiapa memilih bidang-bidang yang sukar baginya menjadi penjawat awam, bererti ia membina selekoh berliku dalam perjalanan hidupnya.
Tatkala rakan rakan mempersiapkan diri ke arah itu, saya melihat dari sudut bertentangan. Minat dan cita cita saya sama sekali asing di kalangan orang kampong. Saya cuba menongkah arus.
Semasa dalam tingkatan dua di SMJ, saya membeli sebuah kamera dengan harga RM60.00 jenis Glitt. Saya kumpul wang itu dari hasil jualan pucuk pucuk ulam dan ikan sawah. Sejak itu azam saya semakin kuat untuk menerjuni bidang asing itu.
Saya berjaya akhirnya. Arus yang saya tongkah ini sungguh menyeronokkan. Sehinggalah sampai ke satu tahap saya mulai sedar ianya seolah olah butiran-butiran gula yang mampu menjana diabetes dalam kehidupan masa hadapan. Saya tidak meninggalkan terus bidang kegemaran saya ini tetapi mula menyaring dan menapis dimana perlu mengikut sewajarnya. 
Saya pun menukar haluan dengan menongkah arus gelombang kedua. Pada usia menjelang senja nyata ianya lebih hebat dan sangat berliku. Pusaran arus nya menuntut saya menggadai nyawa. Dalam situasi dimana kederat semakin jauah menyusut dan keadaan sangat mendesak, saya terdedah kepada banyak pilihan untuk memintas semua liku tersebut, tetapi melupakannya kerana saya mahu berjaya sebagai pejuang. 
Mohon Allah membantu saya.