Monday 18 June 2012

KUBANG BADAK

     Awal tahun tahun 60an, semasa saya berusia kanak kanak, persekitaran Kampong Telok Gelam seumpama wanita beranak satu. Masih mengekalkan alam semula jadinya dengan asli dan hanya sedikit sahaja terjejas. Pokok gelam, putat dan keriang masih berderet deret memayungi batas batas bendang menjadi tempat petani berteduh setelah penat membanting kederat sepagian.
       Di tengah tengah lautan bendang terdapat satu kawasan paya seluas dua kali padang bola yang airnya dalam dan tidak pernah kering  walaupun pada musim kemarau. Kawasan paya ini dinamakan Kubang Badak. Nama ini diperoleh kerana ia menjadi tempat badak badak mengubang pada musim kemarau semasa kampung ini mula di pugar dulu. Selepas badak badak berpindah ke tempat lain, maka kerbau kerbau petani pula mengambil aleh menjadi tempat kubangan mereka. Oleh kerana itu, airnya menjadi pekat berlumpur.
     Orang orang kampung menjadikan tempat ini kawasan larangan kepada kanak kanak kerana ia memang berbahaya. Walaupun musim kemarau airnya masih pada aras kedalaman tiga hingga empat kaki. Bagi budak budak kampung pulak tempat larangan itu yang mereka suka hendak pergi bermain atau mencari ikan keli atau haruan yang menyorok di tepi lanyau.
     Suatu petang di musim kemarau yang kering kakak Diah dan rakan rakannya membawa saya bermain main di tepi Kubang Badak itu. Kakak Diah tiga tahun lebih tua dari saya. Kami membawa seorang sebatang kayu sebagai tongkat sambil meniti tepi tebing Kubang Badak dan menjolok ikan haruan yang bersembunyi. Oleh kerana terlampau seronok dengan ikan ikan kami terlupa keselamatan diri. Di satu tebing yang licin saya tergelincir dan jatuh kedalam Kubang Badak . Kedalamannya sudah cukup untuk melemaskan saya. Dalam keadaan genting itu kakak Diah terjun dan berhempas pulas menolak saya ke tepi dan dalam masa sama Che Lah Md Din menarik saya naik keatas. Kakak Diah juga hampir kelemasan kerana paras air hampir menenggelamkan dia. 
      Balik di rumah bapa dapat mengesan sesuatu yang tidak kena kepada saya dengan melihat mata saya yang merah dan perut saya buncit. Setelah dipaksa maka kakak Diah memberitahu peristiwa di Kubang Badak. Seperti di jangka senja itu saya dan kakak berlarian keliling kampung kerana di rotan bapa dengan ranting pokok asam jawa. Maka berbalor balor lah belakang kami berdua.
     Malam itu saya tidak dapat tidur. Selain sakit di badan bekas kena regih, saya tidak selesa dengan tekak dan perut yang membuncit. Bapak menyuruh emak beri saya minum air suam banyak banyak. Tidak lama selepas itu saya merasa sangat meloya dan kemudian memuntahkan satu baldi air lanyau Kubang Badak yang saya telan ketika lemas tadi. Baunya sangat busuk kerana air lanyau itu bercampur najis kerbau yang mengubang. Sesudah itu baharu lah saya rasa selesa.
       Peristiwa itu sudah 48 tahun berlalu tapi masih hangat dalam ingatan saya. Kini Kubang Badak sudah tidak ujud lagi. Sudah terkambus dan menjadi bendang. Bahkan bendang di kampung Telok Gelam sudah semakin cetek dan tidak seperti dulu lagi.