Monday, 19 April 2010

TENTANG KEBUN GETAH

Seperti bendang, kebun getah turut mewarnai kehidupan kanak-kanak saya. Bau sekerap, gigitan nyamuk, pelita kabaid dan ular kapak adalah asam garam yang perlu dihadapi setiap hari. Saya belajar motong getah dengan emak secara curi curi dari pengetahuan tauke Ah Piau kerana orang yang tidak pandai motong akan merosakkan pokok getah.
Seawal kokok ayam, bapa akan bangun mengasah pisau motong getah. Emak akan menyediakan sarapan keluarga. Selepas subuh, kami akan mengandar baldi meredah kesamaran menuju kebun Cina Ah Piau kira kira setengah kilometer dari rumah.
Menjelang tengahari, kami akan mengandar susu getah untuk dibekukan di gudang hujung kampung. Selepas zohor, getah akan membeku dan terpaksa pula di giling menjadi leper. Getah keping leper kemudian di sidai seperti kain supaya kering sebelum disimpan dibawah rasuk rumah. Apabila genap sebulan lori Ah Piau akan datang mengambil.
Adakalanya, getah yang disimpan dicuri orang dan kami sekeluarga tidak memperolehi apa-apa dan terpaksa berhutang dengan Toke Ah Piau. Apapun alasan, toke Cina itu banyak membantu kehidupan saya semasa kanak-kanak. Bahkan semasa hendak melanjutkan pelajaran ke ibu kota juga, dia lah yang memberi hutang sebahagian wanag yang diperlukan. Kini penoreh getah tidak perlu melakukan kerja-kerja demikian kerana peraih akan membeli getah beku atau getah sekerap. Tiada lagi getah keping seperti dulu.
Semasa dalam tingkatan 3, pada suatu petang, ketika berjalan ditepi kebun getah saya pernah dipatuk ular kapak. Alhamdulilah. Saya sempat mengesan tempat gititan, memicit darah dan bisanya keluar dan mengikat kaki kiri saya dengan baju sebelum menjerit minta bantuan. Jiran saya, abang Omar segara datng dan mendukung saya melintasi bendang untuk mendapatkan bantuan kereta Volvo 144 Cina Bakun dan membawa saya ke hospital Alor Setar. Bahana patukan itu, saya di wad 7 selama hampir sebulan. Sebahagian mangsa lain saya lihat ada yang terpaksa dipotong kaki, atau tangan atau meninggal dunia oleh patukan ular kapak ini. Ular yang kecil, diam tapi amat berbisa.
Pada musim angin monsun timor laut bertiup, cuaca di utara menjadi panas pada waktu siang dan sejuk pada waktu malam. Daun daun getah berguguran meninggalkan ranting ranting. Daun yang gugur menjadi garing. Bahang panas ini selalu menyebabkan kebakaran. Pada musim ini lah bapa terpaksa bekerja keras menjaga kebun Ah Piau agar tidak terbakar. Jika berlaku kebakaran, pokok getah akan mati dan punca pendapatan keluarga akan terjejas.
Ia adalah musim yang sangat perit. Selain ancaman kebakaran, susu getah pada musim ini sangat sedikit. Semua detik ini saya lalui dengan gembira kerana zaman kanak-kanak memang tiada erti kesusahan dalam kamus hidup kita.

Wednesday, 31 March 2010

TENTANG BENDANG

Bendang, lanyau, lintah dan burung burung tiak - seperti kata Shahnon Ahmad - adalah sebahagian kehidupan budak kampung seperti saya. Kami membesar dalam suasana ini. Remaja bersama dan sesetengahnya dewasa dan tua sekaligus.
Di tanah bendang ini terdapat banyak sumber yang membantu kehidupan petani. Tanah lanyau menumbuhkan padi. Petak bendang mengekang air dan membiakkan ikan. Di batas bendang atau di pinggirannya tumbuh pula pokok pokok keriang, muyu, goncag dan rekub yang buahnya menjadi makanan utama kanak-kanak.
Pada musim hujan di mana padi sedang membesar, bendang menjadi medan saya menangkap ikan dengan menggunakan kaedah ngail, taut, bubu, tuag dan sepila. Pada ketika pembajakan saya menggunakan serkap dan jala. Membontot belakang pembajak kuno atau jentera moden memang nostalgik seketika menerkam lompatan ikan haruan menggunakan serkap. Ketika bermula musim kemarau dimana air disurutkan ke alor -alor atau terusan, kami menggunakan kaedah mengelau menangkap ikan haruan dan menangkul untuk ikan ikan yang lain serta udang sawah .
Tiba musim menuai, itu lah waktu paling meriah. Orang dulu biasanya akan mengadakan pakatan menumpuk emping pada malam bulan purnama. Susana waktu itu biasanya angin timur laut mula bertiup. Aroma bunga padi sungguh mengimbau.
Di batas batas bendang ini saya berlari hampir setiap hari sepanjang tahun dalam semua musim. Menangkap ikan, bermain dan membantu menuai padi adalah rutin saya. Ketika itu padi perlu dipukul kedalam tong berbingkai layar dan upahnya dikira mengikut guni. Bagi anak kampung serba kekurangan, survival hidup tidak dapat di elak. Seluruh kederat di paksa memerah tenaga mencari sesuap nasi. Adakalanya terkenang semua detik detik itu, tanpa disedari air bergenang di kelopak mata - walaupun ia sudah sangat lama berlalu.
Sampai saat ini, sesudah membina kehidupan di hutan batu bata , bendang tetap sinonim dengan pemikiran saya - setidak tidaknya dalam memori. Sesekali turun ke bendang, aroma padi menusuk sanubari.

Tuesday, 23 February 2010

Kg Telok Gelam

Sebuah kampung pendalaman sekitar tahun-tahun 50an dan 60an. Terpisah oleh kedudukan geografi dng persekitaran kebun getah persendirian di sebelah barat dan utara manakala tanah sawah bertelok serta kebun getah raja di timur . Di bahagaian selatan ialah sawah padi yang mengunjur sehingga ke Kepala Batas.
Perkampungan jiran terdiri dari Kampung Naga arah ke Barat, Kampung Lubuk Kawah di utara, Kem Tok Jalai di timur dan Kepala Batas di Selatan.
Penduduknya dari kalangan pesawah dan penoreh getah. 20 peratus adalah keluarga China yang mendiami pinggir kebun getah bersempadan dengan Kg Lubuk Kawah. Mereka adalah peniaga dan usahawan.
Di kampung ini lah saya dilahirkan. Membesar sebagai budak kampung sehingga mencecah usia 19 tahun . Selepas STP, dalam bulan Julai 1978, buat pertama kalinya saya meninggalkan kampung ini serta keluarga. Berdagang mencari ilmu dunia di ITM Shah Alam ( kini UiTM).
Walaupun cuma 19 tahun saya hidup dalam persekitaran ini, namun tempuh ini menjadi paling bermakna sepanjang hayat. Memang sukar melupakan kampung ini. Penduduknya. Kawan-kawan. Pokok-pokok getah dan sawah padi. Wau daun ibus. Pohon pohon keriang, muyu, keriang dot, rumbia, stag, remia, setoi, pelam, goncag, rotan, ara, cenderai, letup, letup kelambu, pupog - semua buah-buah eksotik yang telah pupus sebahagiannya.
Keluarga saya tinggal dalam sebuah rumah kampung kuno. Dinding dibuat dari buluh yang dianyam. Atap rumbia. Tiang pokok tembusu. Rumah itu dibina di penjuru sebidang tanah milik jiran saya yang baik hati. Di hadapan rumah kami terdapat sepohon pokok asam jawa saka yang kekal sehingga harini. Di belakang pula terdapat sebatang pokok keranji sebesar tiga pemeluk dan paling tinggi dalam kampung ini.
Pada bulan September 1978 ketika balik cuti semester, pokok keranji tersebut telah tumbang, tepat menghempap rumah kami dan meranapkan samasekali bahagian anjung. Mujur semua ahli keluarga berada di dapur. Tetapi bapa saya yang berada di bawah rumah mengalami cedera agak teruk dan dirawat di hospital Alor Setar seminggu.
Masih jelas dalam ingat, emak saya pengsan dalam pelukan saya ketika jiran mengeluarkan bapa
saya dari runtuhan rumah dan serpihan dahan pokok. Memang berpantang maut sebelum ajal. Apa yang menyelamatkan bapa saya ialah cabang pokok tersebut yang terbenam dalam tanah lalu membentuk satu ruang kecil dimana bapa saya tersepit. Tidak seorang pun menyangka bapa selamat kalau melihat kepada keadaan rumah yang lebur dan pokok yang besar itu.
Selain pokok asam jawa dan keranji, terdapat pokok setoi, dudog, machang, mertajam, janggus dan putat. Begitu juga buluh betong dan buluh duri. Pendek kata, kampung Telok Gelam lengkap sebagaimana sebuah kamapung Melayu tradisional.
Untuk sampai ke Kampung Telok Gelam, seseorang perlu bermula dari Pekan Tok Jalai, melalaui kem tentera, kebun getah raja dan melintasi batas sawah. Pada zaman dulu, tiada jalan tar. Jalannya denai tanah merah yang berdebu pada musim kering dan berselut pada musim hujan.
Tiada juga bekalan letrik dan air paip. Penduduk menggunakan pelita minyak tanah dan air perigi. Kalau hendak menonton TV kami akan pergi kerumah rakan-rakan di dalam kem.
Dalam persekitaran ini lah saya membesar sehingga saat meninggalkan kampung, keadaan tidak berubah. Kampung ini menerima kemajuan ketika saya dirantau orang. Saya tidak sempat melihat fasa-fasa pembangunan yang berlaku. Apabila pulang sekali sekala, saya mendapati semuanya semakin berubah. Dan hariini, perubahan amat jelas sekali - rumah kelahiran saya juga sudah tidak ada. Bekas tapaknya telah ditumbuhi semak. Yang tinggal hanya pohon asam saka - tetap seperti puluhan tahun dulu...

Monday, 8 February 2010

kisah sedih

Hari Khamis malam Jumaat lalu, adik perempuan kepada biras saya, iatu adik abang ipar isteri saya telah kembali ke rahmatullah. Kematian bukan perkara aneh. Tapi cerita disebalik kematian itu yang adakalanya memilukan.
Arwah adalah seorang isteri dan perempuan yang sangat sabar. Pergi meninggalkan dua anak perempuan yang masih belajar. Sehingga saat akhir tidak siapa tahu penderitaannya sehinggalah sudah tiada.
Takdir menentukan ia hidup bermadu. Menjadi isteri nombor dua. Namun ia reda walaupun dibenci dan dimusuhi madunya, isteri nombor satu. Dia mengambil jalan mendiamkan diri tetapi sering membantu madunya dalam diam-diam. Apa-apa sikap permusuhan madunya dibalas dengan rasa sabar dan sikap tolak ansur dan mengalah.
Kehidupan ini berjalan dengan aman sehingga suaminya berkahwin lagi - madu tiga. Pun dia menerima dengan tabah kerana ia biasa berkongsi kasih. Malangnya dengan isteri ketiga, ia tidak mendapat pembahagian kasih seperti sepatutnya. Suami lansung tidak balik dn tidak peduli.
Ia hidup sendirian menanggung sepi seorang diri dirumahnay dipinggir KL. Kedua-dua anak perempuannya tinggal di asrama. Tekanan hidup yang hebat ini dan kesunyian yang menyeelinap dirinya telah memberi impak keatas kesihatan dengan hebat.
Pada hari Khamis , ia jatuh kerana sakit dada dan apabila dibawa ke hospital oleh jiran-jirannya, ia menghadapi sakit jantung kronik walaupun sebelum ini tiada tanda-tnada ia seorang pesakit jantung.
Doktor cuba menyelamatnya tetap takdir Allah tiada yang dapat menghalangnya. Malam Jumaat, ia pun menghembus nafas terakhir.
Adik beradik yang lain berkeras tidak mahu memberitau suaminya. Namun biras saya berjaya memujuk dan suaminya daatang menziarah dengan linangan airmata. Kita tidak tau untuk apa airmata itu tetapi kisah begini sudan semakin menjadi kebiasaan dalam kehidupan masyarakat kita. Berkahwin dua, tiga atau empat di bolehkan dalam Islam, tetapi jika tidak mampu, kahwin satu sudah memadai.
Namun, berkat kesabaran arwah menanggung semuanya dengan tabah dan sabar, Allah memilih memanggilnya kembali pada hari yang mulia - hari Jumaat. Riwayat menyebut tidak semua orang mendpat kelebihan mati pada hari Jumaat kerana barang siapa yang mati pada hari Jumaat, maka ianya terselamat dari semua fitnah kubur sehingga datangnya kiamat.

Thursday, 14 January 2010

SEPI SEORANG IBU TUA

Hari ini 21 januari 2010 genap usia saya 52 tahun, setahun dibelakang ulangtahun kemerdekaan Malaysia. Pada usia ini, saya bukan lagi seorang pemuda tetapi tergolong dalam kaum puak orang-orang tua. Separuh abad, suatu usia yang panjang. Alhamdulillah, Allah kurniakan rezeki umur untuk kesinambungan baki hidup yang kian susut.
Menjadi orang tua, ertinya kita kaya dengan pengalaman dan sarat dengan rahsia kehidupan. Ada orang menyimpannya dengan baik. Ada orang pula mahu ia dikongsi bersama. Dalam masa yang sama kita semakin kehilangan banyak perkara. Ini namanya manusia dan kehidupan.
Baru-baru ini saya menziarahi seorang perempuan tua. Seorang ibu dan nenek. Suaminya telah meninggal dunia sejak lama dulu. Anak-anak pula semuanya sudah bekerja dan tinggal berasingan. Saya kenal makcik ini sejak zaman kanak-kanak lagi.
Dia tinggal sendirian dalam sebuah rumah status pondok. Tidak terlalu buruk tetapi usang dan uzur. Sebahagian atap zinknya serpeh. Dindingnya kopak. Lantainya robek.
Saya perhatikan kelengkapan rumah. TV tahun 80an. Peti sejuk bergerubuk. Dan segalanya serba dhoif namun berupaya memenuhi keperluan hidup era 2000an bagi seorang perempuan tua.
Apabila ditimbulkan, itu bukan isunya kata dia. Tidak penting bagi seorang ibu tua akan TV LCD atau peti ais tiga lapis. Tilam empuk dan sette jati. Tidak penting dan tidak perlu. Apa yang mereka perlu ialah anak menantu dan cucu-cucu. Kepulangan mereka khususnya pada hari-hari kebesaran. Setidak-tidaknya suara mereka pada zman serbah canggih ini.
" Jika umur panjang, kamu akan alami apa yang makcik lalui sekarang. Tidak kira anak menantu balik menjenguk atau tidak , kerinduan seorang ibu dan nenek tidak pernah padam. Namun biasanya mereka redha dalam kepedihan menanti kepulangan anak cucu yang tidak kunjung datang.
Matanya yang berkaca-kaca, tiba-tiba melelehkan air jernih menyirami pipi kedut, namun wajahnya tetap dalam senyuman. Tiada isakan atau sedu sedan tangis. Barangkali sudah pupus menyerap kedalam kedut-kedut wajah tua sebagaimana pupusnya dinosur, kalau lah benar haiwan itu pernah ujud. Barangkali itu tanda redhanya keatas anak-anak yang pernah dilahirkannya dengan segala susah payah dan pertaruhan nyawa.
" Pinggan-pinggan ini baru saja makcik lap. Ingatkan anak cucu nak balik, rupanya tidak. Tapi takpalah, dapat tumpang anak cucu orang pun rasa terubat juga hati mak cik" ratusnya sambil mengelap pinggan untuk hidangan tengahari itu.
Hati saya tersentuh. Amat tersentuh. Sehingga saya hanya mampu dengar dan senyum. Lidah menjadi kelu untuk menyahut dengan kata-kata.
Saya terkenang arwah ibu dan bapa. Benarlah kata orang tua tua , apabila mereka tiada baru lah kita merasai suatu kehilangan besar yang tiada kata-kata untuk diucapkan. Beruntunglah sesiapa yang masih mempunyai ibu bapa pada usia tua begini kerana peluang mendapat keredhaan Allah lebih mudah dan lebih luas berbanding dengan mereka yang telah ketiadaan keduanya.