Sunday 25 July 2010

PEKAN JITRA DAN SEORANG GADIS

Pekan Jitra hanyalah sebuah pekan kecil. Tetapi pengaruhnya terhadap diri saya amat besar. Saya meninggalkan pekan ini pada 1978 dan sejak itu hanya kembali sekali sekala pada masa cuti atau pada hari raya.
Sesudah tiga puluh tahun berlalu, Jitra telah menelan sebahagian besar kenangan silam saya. Pekan ini dengan pantas menerima kemajuan dan pembangunan. Lokasi strategik terletak di persimpangan utara selatan dan barat menghubungkan Changlun di utara arah ke sempadan Thailand, Kodiang dan Perlis ke Barat serta Alor Setar ke Selatan - menjadikan ia sangat praktikal di jadikan pusat pembangunan dalam semua sektor. Apatah lagi daerah ini pernah bernaung di bawah parlimen Perdana Menteri dan ADUN Menteri Besar Kedah serentak.
Di pekan ini lah terletaknya Sekolah Menengah Jitra - tempat dimana saya mendapat pendidikan asas menengah rendah.
Pekan Jitra menjadi pusat perdangangan penting di wilayah utara. Kerana kepentingan itu, sawah sawah dipinggirnya telah tertimbus menjadi blok blok kedai dan shopping complex atau taman taman perumahan. Bahang pembangunan ini terus mengembang sehingga suasana perbandaran merebak sejauh pekan Kepala Batas ke selatan dan Tunjang ke arah barat. Nilai hartanah menjadi berlipat kali ganda. Dan yang lebih teruja, pekan ini hidup sehingga lewat malam sepertimana pekan pekan metropolitan lain di seluruh negara.
Suatu ketika dulu di persimpangan Alor Setar, Kodiang dan Changlun berhampiran Balai Polis Jitra merupakan pusat bandar yang sibuk. Di sini terletak stesen bas The Kubang Pasu Transport Ltd yang memberi perkhidmatan pengangkutan di seluruh daerah Kubang pasu. Kini kawasan ini usang dan suram. Pusat bandar telah dipindahkan ke kawasan baru dinamakan Pekan Jitra 2 yang dahulunya kawasan sawah padi yang luas.
Di tepi stesen bas ialah deretan bangunan kedai yang menempatkan Pejabat Pos. Di hujung deretan adalah pasar awam dan sebuah masjid yang juga turut suram dan usang oleh pembinaan pasar dan masjid baru.
Dalam tahun 1975 ketika menunggu keputusan SPM saya belajar menaip di salah sebuah kelas menaip di deretan bangunan kedai ini. Di sini saya berkenalan dengan seorang gadis comel yang santun bernama Abidah. Abidah berasal dari Kampung Naga dan dia sering di temani Kak Nab. Kami bertiga berkawan agak rapat dan akan menaiki bas bersama tiap tiap hari. Walaupun kami tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa, tetapi persahabatan itu berbekas di hati saya. Selepas keputusan SPM diumumkan dan kami menamatkan kelas menaip, Abidah memberi sekeping gambarnya kepada saya sebagai tanda kenangan-kenangan perpisahan itu. Pemberian tersebut sudah cukup membuat saya merinduinya untuk beberapa waktu. Persahabatan tiga bulan itu pun menjadi nostalgik.
Sesudah tiga puluh tahun, tiba tiba saya mendapat mesej dari seseorang yang mengikuti blog saya memberitahu bahawa Abidah adalah rakan dan juga saudaranya dan kini menetap di Sungai Merab, Bangi tidak jauh dari rumah saya. Barangkali kami pernah terserempak tetapi sudah saling tidak mengenali lagi..