Tuesday 27 November 2012

FRESHIE DAN MINGGU ORIENTASI

     Mereka namakan minggu itu Minggu Orientasi. Tempoh dimana beberapa program di susun khas kepada pelajar baru menyesuaikan diri untuk menjadi penghuni kampus dalam jangka masa tiga atau empat tahun  berikutnya.
     Dan mereka gelarkan kami sebagai freshie untuk membezakan mereka sebagai OC yang merupakan pelajar senior dalam program Minggu Orientasi itu. 
      Minggu yang sangat meresahkaan. Dipaksa bangun sebelum subuh dan tidur selepas tengah malam. Program yang sangat padat penuh dengan agenda agenda motivasi dan perjuangan diri untuk dikorbankan kepada keluarga, agama, bangsa dan negara.
     Saya masih ingat pemimpin pelajar yang lantang suaranya menyembur keluar dari corong healer itu, Sdr. Khalid Jaafar dari pengajian Masscomm. Bukan kerana wajah nya tampan atau suara lantang nya itu tetapi dia lah yang mendenda saya menembak sepasang burung gagak yang bertenggek di bumbung bangunan asrama pada satu perhimpunan pagi.
       Saya memang tidak boleh ikut peraturan. Dalam perhimpunan itu, seorang freshie di denda dengan di suruh memeluk dan mencium tiang bangunan seolah olah tiang itu kekasihnya. Perlakuan malu malu dan terpaksa frreshie itu menggelikan hati saya sehingga tidak dapat di kawal. Saya terketawa menyebabkan dapat dikesan oleh seorang OC.
        Frreshie itu di suruh kembali kebarisan dan digantikan dengan saya. Kebetulan ketika itu sepasang burung gagak terbang lalu hinggap di bucu bangunan asrama.Saya lantas di arahkan menembak burung itu kerana kononnya sikap kurang sopan mereka di hadapan publik. Tiada senapang tiada peluru. Maka saya pon mengangkat tangan seolah olah senapang di hunus lalu meletupkan dengan suara sendiri..pong ..pong..pong.. Burung burung gagaak itu hanya terkial terkial mungkin tertawakan saya.
         ' Kamu tembak dia sampai jatuh '.. hah jenuh pong pong lah saya. Akhirnya terbang jugak si gagak itu setelah saya kepenatan. Alangkah malunya saya dipertontonkan melaku adegan tersebut di depan khalayak namun apa yang boleh saya buat. Dengan muka berbahang rasa panas menahan pelbagai rasa saya lihat sesiapan pun tidak berani ketawa.
        Akhirnya berakhir juga tempuh sukar itu. Pada malam terakhir program kami saling memohon kemaafan dan menjadi lebih akhrab selepas melalui program keras penuh disiplin itu. Kami saling mengenali lebih rapat dan ini memudahkan kami pelajar baru menyesuaikan diri sesudah gelaran freshie dilucutkan.
      Sesudah itu terasa manis pula waktu waktu  itu bila di kenang kenang semula.

Saturday 3 November 2012

RUSA DI KOTA

 

Fajar sedang menyinsing dan keretapi dengan perlahan merayapi landasan di antara blok blok batu bata yang berselerakan. Lampu lampu neon kaku kesejukan. Tidak lama selepas itu ia memasuki bangunan stesen. Di tepi dek landasan saya terbaca tulisan besar - KUALA LUMPUR. 
     Turun dari keretapi tiada siapa menunggu. Berpandukan arah publik bergerak saya membontoti mereka. Keluar melalui pintu balai ketibaan teksi teksi berbaris menunggu. 
' Kemana ?'
' ITM ' jawab saya.
Dia membuka pintu dan mempelawa saya naik. Saya pun mengusung sebuah beg besar saiz 30 inci berwarna hijau kedalam teksi. Beberapa minit kemudian saya sudah berada di dalam perut ibu kota Kuala Lumpur yang megah itu. Bangunan bangunanya tingi menujah angkasa mencakar langit . Indah berhias megah tersergam. Kenderaan mula bersusun di atas jalanraya walau hari masih awal pagi. Orang orang ibukota sangat sibuk dan lincah. Mereka bergerak seperti lipas berbeza dengan orang orang kampung saya di pagi pagi begini mereka masih berselimut kain pelikat dan duduk mencangkung di pinggir bendang.
     Sedang saya asyik mengkagumi lanskap sebuah ibukota tiba tiba teksi berhenti dan pemandunya berkata sudah sampai. Saya memerhati sekeliling. Pada pintu gerbang masuk tertera tulisan UTM. Pemandu itu membawa saya ke Jalan Gurney. Samada dia salah dengar atau sengaja hanya dia yang tahu. 
     Dia menurunkan saya di situ dengan caj tambang RM10.00. Katanya teksi dia tidak boleh keluar dari KL untuk ke Shah Alam. Dia suruh saya tahan saja teksi lain. 
     Di pinggir jalan, teksi demi teksi saya tahan tapi sebuah pun tidak mahu pergi ke Shah Alam. Saat saya mula panik dan hampir putus asa tiba tiba berhenti sebuah teksi Datsun 120Y. 
" Mana mau pegi kawan ?'
' ITM Shah Alam' saya tidak berani lagi menyebut ITM tanpa Shah Alam takut dia tersalah dengar.
' Aiya..ini teksi tak bole pigi ma..'
' Ala..kawan kasi tolong lah..saya taktau macam mana mau pi. saya baru sampai dari Kedah mau p ngaji sana la..tolong la.' saya mengharap belas kasihan Cina separuh umur itu. Dia memandang saya lama. Ada riak simpati di wajahnya.
' ok la ok la..tapi ini salah tau kalau kena tangkap habis la gua " katanya sambil membuka pintu. 
     Dalam perjalanan dia memberitahu bahawa teksi teksi yang berbumbung warna kuning dengan badannya pulak berwarna hitam dan di pintu tertulis teksi KL dalam bulatan tidak boleh keluar dari pusat bandar. Untuk pergi ke lain lain destinasi seperti Kelang atau Shah Alam penumpang perlu menaiki teksi yang berwarna merah dan bumbungnya putih serta tulisan di pintu dalam kotak empat segi. Stesen teksi out station ini berpusat di Stesen Bus Stand Kelang berhampiran Petaling Street.
    Mana lah saya tahu semua itu. Saya seolah seekor rusa memasuki kota. Di mana Bus Stand Kelang dan ke arah mana bandar Shah Alam pun saya tidak tahu. 
    Tidak lama dalam perjalanan yang agak laju saya mula terpandang bangunan tinggi bertingkat tingkat terpacak di atas bukit. Baru saya nak bertanya bangunan apa itu, drebar teksi itu memberitahu itu lah ITM Shah Alam.
      Matahari baru saja melimpahkan cahaya pagi dengan penuh keceriaan. Mengikut pandu arah tersedia akhir teksi itu sampai di perkarangan asrama Seroja. Saya membayar RM30.00 untuk perjalanan ekslusif itu. Jumlah itu mencukupi untuk tambang keretapi pergi dan balik ke utara pada era itu. Apa boleh buat dia menggadai permitnya untuk membawa saya ke sini. Mungkin boleh dianggap adil untuk urusan ini.
     Detik yang memulakan hari hari tranformasi nilai nilai hidup saya pun bermula. Kampus ini menjadi saksi nya.

Monday 22 October 2012

SAAT ITU

     Hari di ambang senjakala tatkala bas jalur kuning merah itu mula bergerak meninggalkan Pekan Tok Jalai yang tenang itu. Menoleh kebelakang kelihatan asap disel hitam berkelun kelun membunga sebelum menipis di angkasa. Pekan kecil itu  semakin mengecil sayup di hujung pandangan. 
     Di luar tingkap, cahaya keemasan sedang menyimbah lautan sawah. Bebola matahari terapung di horizon Barat seolah olah bergolek mengiringi kelajuan bas sambil melantuni pulau pulau perkampungan pesawah yang berbalam balam dalam pandangan. Antara deru enjin dan desir angin menyelinap tingkap, jiwa saya meronta ronta tersepit sendu. 
     Ini lah buat pertama kali nya saya akan memulakan sebuah perjalanan jauh. Sebuah perantauan menghitung tuah masa hadapan. Mendatangi ibu kota KL yang menjadi impian semua remaja desa.  Segala perasaan saling menindih dan menggegarkan jiwa raga. Memang sukar untuk saya lupakan saat ini dalam sejarah sepanjang perjalanan hidup ini. Selain bagan tempat bermain dan membesar, saya meninggalkan juga kedua ayah bonda serta keluarga yang tersenyum bangga di antara lelehan airmata. 
      Keretapi malam akan bertolak jam 9.00. Di stesen Alor Setar publik agak sesak. Mereka adalaah penumpang dan keluarga yang datang menghantar. Sangat pilu duduk sendirian tanpa iringan. Namun sebak itu saya simpan baik baik kerana saya sedia maklum emak dan bapak tidak upaya untuk datang menemani sehingga tahap ini. Suasana ini saya jadikan permulaan untuk melatih diri menjadi lebih sejati. 
       Akhirnya keretapi pun tiba. Pada suatu malam dalam bulan Julai 1978 ia bergerak seperti biasa dengan destini Kuala Lumpur. Di dalam gerabak yang panjang itu tersandar seorang budak kampung pada satu kerusi. Di dalam kepala nya berselirat seribu persoalan yang membelit belit perasaan. 
      Sungguh hebat. Ia permulaan kepada sebuah perjalanan melakar masa depan. Sudah pasti sangat sukar saya lontarkan dari kotak ingatan. 
         

Monday 18 June 2012

KUBANG BADAK

     Awal tahun tahun 60an, semasa saya berusia kanak kanak, persekitaran Kampong Telok Gelam seumpama wanita beranak satu. Masih mengekalkan alam semula jadinya dengan asli dan hanya sedikit sahaja terjejas. Pokok gelam, putat dan keriang masih berderet deret memayungi batas batas bendang menjadi tempat petani berteduh setelah penat membanting kederat sepagian.
       Di tengah tengah lautan bendang terdapat satu kawasan paya seluas dua kali padang bola yang airnya dalam dan tidak pernah kering  walaupun pada musim kemarau. Kawasan paya ini dinamakan Kubang Badak. Nama ini diperoleh kerana ia menjadi tempat badak badak mengubang pada musim kemarau semasa kampung ini mula di pugar dulu. Selepas badak badak berpindah ke tempat lain, maka kerbau kerbau petani pula mengambil aleh menjadi tempat kubangan mereka. Oleh kerana itu, airnya menjadi pekat berlumpur.
     Orang orang kampung menjadikan tempat ini kawasan larangan kepada kanak kanak kerana ia memang berbahaya. Walaupun musim kemarau airnya masih pada aras kedalaman tiga hingga empat kaki. Bagi budak budak kampung pulak tempat larangan itu yang mereka suka hendak pergi bermain atau mencari ikan keli atau haruan yang menyorok di tepi lanyau.
     Suatu petang di musim kemarau yang kering kakak Diah dan rakan rakannya membawa saya bermain main di tepi Kubang Badak itu. Kakak Diah tiga tahun lebih tua dari saya. Kami membawa seorang sebatang kayu sebagai tongkat sambil meniti tepi tebing Kubang Badak dan menjolok ikan haruan yang bersembunyi. Oleh kerana terlampau seronok dengan ikan ikan kami terlupa keselamatan diri. Di satu tebing yang licin saya tergelincir dan jatuh kedalam Kubang Badak . Kedalamannya sudah cukup untuk melemaskan saya. Dalam keadaan genting itu kakak Diah terjun dan berhempas pulas menolak saya ke tepi dan dalam masa sama Che Lah Md Din menarik saya naik keatas. Kakak Diah juga hampir kelemasan kerana paras air hampir menenggelamkan dia. 
      Balik di rumah bapa dapat mengesan sesuatu yang tidak kena kepada saya dengan melihat mata saya yang merah dan perut saya buncit. Setelah dipaksa maka kakak Diah memberitahu peristiwa di Kubang Badak. Seperti di jangka senja itu saya dan kakak berlarian keliling kampung kerana di rotan bapa dengan ranting pokok asam jawa. Maka berbalor balor lah belakang kami berdua.
     Malam itu saya tidak dapat tidur. Selain sakit di badan bekas kena regih, saya tidak selesa dengan tekak dan perut yang membuncit. Bapak menyuruh emak beri saya minum air suam banyak banyak. Tidak lama selepas itu saya merasa sangat meloya dan kemudian memuntahkan satu baldi air lanyau Kubang Badak yang saya telan ketika lemas tadi. Baunya sangat busuk kerana air lanyau itu bercampur najis kerbau yang mengubang. Sesudah itu baharu lah saya rasa selesa.
       Peristiwa itu sudah 48 tahun berlalu tapi masih hangat dalam ingatan saya. Kini Kubang Badak sudah tidak ujud lagi. Sudah terkambus dan menjadi bendang. Bahkan bendang di kampung Telok Gelam sudah semakin cetek dan tidak seperti dulu lagi. 

Saturday 1 October 2011

MENONGKAH ARUS

Membesar sebagai budak kampung, kami melalui persekitaran yang serupa. Sistem nilai dalam masyakat Melayu pendalaman ketika itu hampir semuanya menghendaki anak anak mereka belajar untuk menjadi kakitangan kerajaan atau ulamak. Antara bidang common yang menjadi sebutan orang kampung dan mendapat sanjungan mereka ialah jawatan ADO, Laywer, Engineer, Doktor dan Guru disamping kerani, tentera dan polis. 
Berkali kali emak berpesan kepada saya 
" jangan hang jadi macam mak..kerja dok bilang pokok getah dan main lanyau dalam bendang"
Persepsi masyarakat terhadap penjawat awam ketika itu amat lah tinggi. Semua orang berebut untuk menjadi kakitangan awam. Bermenantu atau bersuami orang penjawat awam. Jika ada sesiapa memilih bidang-bidang yang sukar baginya menjadi penjawat awam, bererti ia membina selekoh berliku dalam perjalanan hidupnya.
Tatkala rakan rakan mempersiapkan diri ke arah itu, saya melihat dari sudut bertentangan. Minat dan cita cita saya sama sekali asing di kalangan orang kampong. Saya cuba menongkah arus.
Semasa dalam tingkatan dua di SMJ, saya membeli sebuah kamera dengan harga RM60.00 jenis Glitt. Saya kumpul wang itu dari hasil jualan pucuk pucuk ulam dan ikan sawah. Sejak itu azam saya semakin kuat untuk menerjuni bidang asing itu.
Saya berjaya akhirnya. Arus yang saya tongkah ini sungguh menyeronokkan. Sehinggalah sampai ke satu tahap saya mulai sedar ianya seolah olah butiran-butiran gula yang mampu menjana diabetes dalam kehidupan masa hadapan. Saya tidak meninggalkan terus bidang kegemaran saya ini tetapi mula menyaring dan menapis dimana perlu mengikut sewajarnya. 
Saya pun menukar haluan dengan menongkah arus gelombang kedua. Pada usia menjelang senja nyata ianya lebih hebat dan sangat berliku. Pusaran arus nya menuntut saya menggadai nyawa. Dalam situasi dimana kederat semakin jauah menyusut dan keadaan sangat mendesak, saya terdedah kepada banyak pilihan untuk memintas semua liku tersebut, tetapi melupakannya kerana saya mahu berjaya sebagai pejuang. 
Mohon Allah membantu saya. 

Monday 4 July 2011

EPISOD PILU

Tidak semena mena angin pun bertiup. Bukan angin monsun timur laut yang sejuk kering itu. Tidak juga monsun barat daya yang ribut menggila. Angin apakah yang tiupan nya semut pun tidak melayang tetapi kesannya membekam sehingga tempoh yang lama. Membuat lamunan aku tiada hujungnya.
Aku termenung sendiri. Hendak ku adu kepada emak dan bapak, kedua nya sudah tiada. Orang orang lain mungkin tidak patut diheret bersama. Kata orang lebih baik jangan berkongsi duka dengan sesiapa. Zaman teknologi mungkin muka komputer lebih sesuai dan buleh juga menjadi kisah teladan kepada sesiapa saja yang mahu mengambil iktibar.
Aku bukanlah seorang anak yang baik. Bukan juga seorang muslim yang alim dan warak. Sungguhpun begitu aku tidak lah bebal sangat dengan sifat tamak haloba. Keinginan harta benda memang lah ada. Tapi tidak lah sampai mencantas sana sini. Memijak membenam sesiapa sahaja apatah lagi saudara sedarah sedaging.
Lalu berkata lah angin yang bertiup itu bahawa aku lah pemakan harta pusaka peninggalan kedua arwah ayahbonda ku. Membolot semuanya seorang diri dan hidup senang lenang dengan segala kemewahan di ibukota KL ini.
Hati mana yang tidak luluh. Air mata siapa yang tidak akan luruh. Jiwa mana yang tidak mengeluh. Tuduhan dan kabar ini sangat halus menyiat nyiat kalbu ku. Namun tetap kuperam supaya menjadi debu agar ia melayang berlalu. Namun ianya tidak semudah itu.
Kedua-dua ayahbonda ku tidak mempunyai walau seinci pun tanah. Mereka lah anak merdeka bumi makmur ini yang sehingga akhir hayatnya papa kedana. Hidup menumpang tanah jiran ku dalam sebuah pondok ( bukan sebuah rumah) sehingga lah kami dilahir dan dibesarkan.
Setelah bekerja, aku membeli sekeping tanah lot di kampung ku itu. Adik perempuan ku , Timah menambakkan nya kerana ia tanah bekas sawah di hujung kampung yang dibangunkan sebagai lot rumah. Aku bina sebuah rumah kampung untuk ayah bonda dan kami adik beradik bila balik bercuti. Kos pembinaannya ku dapati dari hasil jualan rumah teres dua tingkat yang aku beli dengan loan kerajaan di Bangi. Aku rasa tidak selesa hidup di rumah batu dua tingkat itu sedang kedua ibubapa duduk di dalam pondok usang di kampung.
Sebahagian lagi aku beli tanah lot dalam sebuah perkampungan pondok. Kemudian perlahan lahan aku bina rumah sendiri dengan bantuan pekerja Indonesia kerana mahu menjimatkan kos.
Setelah rumah di kampung hampir siap dan kedua ibu bapa aku mula pindah kesana aku merasa sungguh gembira. Namun kegembiraan ku tidak lama. Tidak sampai setahun merasa tinggal di tanah sendiri , ibu menyahut panggilan Ilahi. Bapa tinggal seorang di rumah tersebut tetapi akhirnya terpaksa pindah kerana ia semakin uzur. Bapa tidak mahu duduk di rumah mana mana anaknya. Akhirnya setelah berunding, bapa setuju tinggal di Changlun dekat rumah abang sulung ku dengan syarat mesti membina sebuah rumah lain untuknya.
Aku tiada pilihan. Rumah di kampung asal terpaksa dijual. Maka aku yang menguruskannya kerana semua harta itu dibeli atas nama aku. Duit penjualan rumah dan tanah itu, aku bina rumah baru untuk bapa di atas tanah abang sulung bersebelahan rumahnya di Changlun. Bapa tinggal di situ selama 10 tahu sebelum berpindah kerumah anak anaknya yang lain apabila terlalu uzur sehinggalah akhir hayatnya.
Rumah itu aku serahkan kapada abang sulung menjaganya. Abang sulung sewakan rumah tersebut dan ada juga dia beri duit sewa kepada ku. Ada ketika aku ambil ada ketika aku suruh dia belanja saja. Aku perlu kan duit tetapi aku ada banyak jalan lain mencari duit.
Demikian secara rengkasnya duduk perkara.
Tiba tiba datang angin menyapa bahawa aku pemakan harta pusaka sedangkan aku sendiri pada permulaan usia emas ini tidak ada sejengkal pun tanah. Rumah pun rumah sewa. Rumah ku telah dijual keranan tuntutan dalam arena niaga. Milik ku hanya sebuah kereta mazda tahun 1991.
Apa pun aku berterima kasih kepada pembawa kabar. Wahai angin yang bertiup, hembuslah sesuka mana pun, hakikatnya aku tetap taat dan yakin peraturan yang Dia telah tetapkan. Ingin saja aku sampaikan hadiah kepada perawi cerita tersebut sepertimana kelakuan Saidina Umar Al Khatab, tetapi makam aku amat jauh lebih rendah dari tahap itu.
Barangkali ada hikmahnya yang tidak aku ketahui, kalaupun tidak di dunia ini pasti sekali pada hari pembalasan nanti.

Thursday 7 April 2011

PERISTIWA SAMA DI DUA ZAMAN BERBEZA

Kembali kepada hujung tahun tahun 60an dan awal 70an. Ketika itu saya seorang kanak kanak kampong di sekolah rendah. Rutin hidup saya selepas sekolah banyak di habiskan bersama arwah emak dan arwah bapa. Berbagai aktiviti kampong saya pelajari dari kedua mereka.
Emak biasanya membawa saya ke tempat tempat sosial seperti kenduri kendara. Membeli belah di Pekan Jitra atau menziarah sanak saudara di Changlun, Kepala Batas atau di Tasik Gelugor, Seberang Prai. Selain melawat kawan kawan nya di mana mana saja.
Bapak pula membawa saya mengharung alur, paya dan sawah menangkap ikan. Meredah belukar dan hutan getah menjerat burung. Selain itu bapak mengajar saya berkebun di tanah rezab terbiar bersempadan Kampong Naga.
Oleh kerana emak tidak boleh menunggang basikal, kami berjalan kaki sahaja ke mana mana. Kalau mengikut bapa, saya membonceng atas basikal lanca carrier besar yang bapa guna bawak susu getah dari kebun Cina Ah Piau.
Diwaktu waktu lain saya belajar menoreh getah, memukoi padi dan memerah susu kerbau. Masa dengan kawan kawan agak terhad. Sebab itu saya tidak pandai bersukan seperti bermain bolasepak, sepaktakraw atau badminton yang merupakan sukan popular ketika itu. Pun begitu, dalam keterbatasan waktu, saya sempat juga bermain tembak tembak dan masak masak dengan kawan kawan.
Impian saya ketika itu ialah membeli sebuah basikal Robin Hood berharga 60.00 ringgit dan membeli sebuah kamera SLR Minolta SRT 101 berharga 600.00 ringgit. Kedua dua hajat itu tidak tertunai sehingga saat saya meninggalkan kampung pada usia 19 tahun. Saya hanya mampu membeli sebuah kamera kompak jenis Glitt berharga 65.00 ringgit dan sebuah basikal lanca hadiah dari seorang kawan. Basikal itu kemudian dicuri ketika saya letak di Pekan Tok Jalai kerana menaiki bas pergi belajar di SMDSO, Alor Setar.
Hasrat saya ketika itu hendak melihat impian tercapai dan tidak peduli dengan kemampuan emak dan bapa yang menanggung kami 7 beradik dengan pendapatan dari sumber kebun getah dan kerja kampung tidak menentu. Kehidupan memang sukar dan saya laluinya dalam segala susah payah dan keluh kesah.
Empat puluh tahun kemudian. Kedua ibu bapa saya sudah tiada lagi di dunia ini. Saya telah dewasa dan mengambil aleh tempat mereka. Membesarkan 6 orang anak, saya mula melalui semua apa yang telah kedua mereka lalui semasa saya kanak kanak dulu. Cuma bezanya kini anak anak saya mengimpikan kereta atau motosikal berbanding basikal. Pengembaraan kami jugak melalui skop geografi lebih luas meliputi seluruh negara.
Pertemuan dengan rakan rakan lama juga di aktif melalui maya atau perjumpaan khusus terancang dari masa ke masa.
Hakikatnya, senario ini seperti tiada perubahan. Yang berbeza lanskap dan setting masa saja.
Kini setelah melaluinya baru lah dapat saya hayati sepenuhnya apa yang di rasai kedua ibubapa saya ketika mereka di usia saya ini.
Ada air jerneh bergenang di mata mengingati semua ini...jasa dan pengorbanan kedua ibubapa tidak ada nilainya untuk dibayar walau dengan harga seluruh dunia ini dan segala isinya sekali.