Thursday 7 April 2011

PERISTIWA SAMA DI DUA ZAMAN BERBEZA

Kembali kepada hujung tahun tahun 60an dan awal 70an. Ketika itu saya seorang kanak kanak kampong di sekolah rendah. Rutin hidup saya selepas sekolah banyak di habiskan bersama arwah emak dan arwah bapa. Berbagai aktiviti kampong saya pelajari dari kedua mereka.
Emak biasanya membawa saya ke tempat tempat sosial seperti kenduri kendara. Membeli belah di Pekan Jitra atau menziarah sanak saudara di Changlun, Kepala Batas atau di Tasik Gelugor, Seberang Prai. Selain melawat kawan kawan nya di mana mana saja.
Bapak pula membawa saya mengharung alur, paya dan sawah menangkap ikan. Meredah belukar dan hutan getah menjerat burung. Selain itu bapak mengajar saya berkebun di tanah rezab terbiar bersempadan Kampong Naga.
Oleh kerana emak tidak boleh menunggang basikal, kami berjalan kaki sahaja ke mana mana. Kalau mengikut bapa, saya membonceng atas basikal lanca carrier besar yang bapa guna bawak susu getah dari kebun Cina Ah Piau.
Diwaktu waktu lain saya belajar menoreh getah, memukoi padi dan memerah susu kerbau. Masa dengan kawan kawan agak terhad. Sebab itu saya tidak pandai bersukan seperti bermain bolasepak, sepaktakraw atau badminton yang merupakan sukan popular ketika itu. Pun begitu, dalam keterbatasan waktu, saya sempat juga bermain tembak tembak dan masak masak dengan kawan kawan.
Impian saya ketika itu ialah membeli sebuah basikal Robin Hood berharga 60.00 ringgit dan membeli sebuah kamera SLR Minolta SRT 101 berharga 600.00 ringgit. Kedua dua hajat itu tidak tertunai sehingga saat saya meninggalkan kampung pada usia 19 tahun. Saya hanya mampu membeli sebuah kamera kompak jenis Glitt berharga 65.00 ringgit dan sebuah basikal lanca hadiah dari seorang kawan. Basikal itu kemudian dicuri ketika saya letak di Pekan Tok Jalai kerana menaiki bas pergi belajar di SMDSO, Alor Setar.
Hasrat saya ketika itu hendak melihat impian tercapai dan tidak peduli dengan kemampuan emak dan bapa yang menanggung kami 7 beradik dengan pendapatan dari sumber kebun getah dan kerja kampung tidak menentu. Kehidupan memang sukar dan saya laluinya dalam segala susah payah dan keluh kesah.
Empat puluh tahun kemudian. Kedua ibu bapa saya sudah tiada lagi di dunia ini. Saya telah dewasa dan mengambil aleh tempat mereka. Membesarkan 6 orang anak, saya mula melalui semua apa yang telah kedua mereka lalui semasa saya kanak kanak dulu. Cuma bezanya kini anak anak saya mengimpikan kereta atau motosikal berbanding basikal. Pengembaraan kami jugak melalui skop geografi lebih luas meliputi seluruh negara.
Pertemuan dengan rakan rakan lama juga di aktif melalui maya atau perjumpaan khusus terancang dari masa ke masa.
Hakikatnya, senario ini seperti tiada perubahan. Yang berbeza lanskap dan setting masa saja.
Kini setelah melaluinya baru lah dapat saya hayati sepenuhnya apa yang di rasai kedua ibubapa saya ketika mereka di usia saya ini.
Ada air jerneh bergenang di mata mengingati semua ini...jasa dan pengorbanan kedua ibubapa tidak ada nilainya untuk dibayar walau dengan harga seluruh dunia ini dan segala isinya sekali.

No comments:

Post a Comment