Thursday 14 January 2010

SEPI SEORANG IBU TUA

Hari ini 21 januari 2010 genap usia saya 52 tahun, setahun dibelakang ulangtahun kemerdekaan Malaysia. Pada usia ini, saya bukan lagi seorang pemuda tetapi tergolong dalam kaum puak orang-orang tua. Separuh abad, suatu usia yang panjang. Alhamdulillah, Allah kurniakan rezeki umur untuk kesinambungan baki hidup yang kian susut.
Menjadi orang tua, ertinya kita kaya dengan pengalaman dan sarat dengan rahsia kehidupan. Ada orang menyimpannya dengan baik. Ada orang pula mahu ia dikongsi bersama. Dalam masa yang sama kita semakin kehilangan banyak perkara. Ini namanya manusia dan kehidupan.
Baru-baru ini saya menziarahi seorang perempuan tua. Seorang ibu dan nenek. Suaminya telah meninggal dunia sejak lama dulu. Anak-anak pula semuanya sudah bekerja dan tinggal berasingan. Saya kenal makcik ini sejak zaman kanak-kanak lagi.
Dia tinggal sendirian dalam sebuah rumah status pondok. Tidak terlalu buruk tetapi usang dan uzur. Sebahagian atap zinknya serpeh. Dindingnya kopak. Lantainya robek.
Saya perhatikan kelengkapan rumah. TV tahun 80an. Peti sejuk bergerubuk. Dan segalanya serba dhoif namun berupaya memenuhi keperluan hidup era 2000an bagi seorang perempuan tua.
Apabila ditimbulkan, itu bukan isunya kata dia. Tidak penting bagi seorang ibu tua akan TV LCD atau peti ais tiga lapis. Tilam empuk dan sette jati. Tidak penting dan tidak perlu. Apa yang mereka perlu ialah anak menantu dan cucu-cucu. Kepulangan mereka khususnya pada hari-hari kebesaran. Setidak-tidaknya suara mereka pada zman serbah canggih ini.
" Jika umur panjang, kamu akan alami apa yang makcik lalui sekarang. Tidak kira anak menantu balik menjenguk atau tidak , kerinduan seorang ibu dan nenek tidak pernah padam. Namun biasanya mereka redha dalam kepedihan menanti kepulangan anak cucu yang tidak kunjung datang.
Matanya yang berkaca-kaca, tiba-tiba melelehkan air jernih menyirami pipi kedut, namun wajahnya tetap dalam senyuman. Tiada isakan atau sedu sedan tangis. Barangkali sudah pupus menyerap kedalam kedut-kedut wajah tua sebagaimana pupusnya dinosur, kalau lah benar haiwan itu pernah ujud. Barangkali itu tanda redhanya keatas anak-anak yang pernah dilahirkannya dengan segala susah payah dan pertaruhan nyawa.
" Pinggan-pinggan ini baru saja makcik lap. Ingatkan anak cucu nak balik, rupanya tidak. Tapi takpalah, dapat tumpang anak cucu orang pun rasa terubat juga hati mak cik" ratusnya sambil mengelap pinggan untuk hidangan tengahari itu.
Hati saya tersentuh. Amat tersentuh. Sehingga saya hanya mampu dengar dan senyum. Lidah menjadi kelu untuk menyahut dengan kata-kata.
Saya terkenang arwah ibu dan bapa. Benarlah kata orang tua tua , apabila mereka tiada baru lah kita merasai suatu kehilangan besar yang tiada kata-kata untuk diucapkan. Beruntunglah sesiapa yang masih mempunyai ibu bapa pada usia tua begini kerana peluang mendapat keredhaan Allah lebih mudah dan lebih luas berbanding dengan mereka yang telah ketiadaan keduanya.

2 comments:

  1. itulah roda-roda kehidupan manusia.Takdir Allah tak siapa yang tahu.Kita hanya mampu berdoa semoga mendapat rahmat Nya setiap masa,dan kita beroleh sihat selalu hendaknya.Amin Yarabbalalamin.

    ReplyDelete
  2. Ni macam kisah mak ana je..mak anak dok sorang kat Macang tu..dia ada adik perempuan yg dok sekali. tapi tiap pagi2 sebelum subuh dia bergaduh bertempik pekik.kami anak cucu setiap kali balik cukup takut.Jeme pun dah bertahun tak mau balik sejak dia maki hamun depan famili dia.Baru ni ana bagi duit untuk buat rumah dia simpan je.Mak, pak dan adik dia meninggal dulu. banyak lagi kisah yg tak elok..Tapi ana balik juga. Ana telefon gak..Nak tau kisah seterusnya jumpa nanti kita sembang la...kadang cerita sebelah saja banyak yg tak betulnya..

    ReplyDelete