Sebuah kampung pendalaman sekitar tahun-tahun 50an dan 60an. Terpisah oleh kedudukan geografi dng persekitaran kebun getah persendirian di sebelah barat dan utara manakala tanah sawah bertelok serta kebun getah raja di timur . Di bahagaian selatan ialah sawah padi yang mengunjur sehingga ke Kepala Batas.
Perkampungan jiran terdiri dari Kampung Naga arah ke Barat, Kampung Lubuk Kawah di utara, Kem Tok Jalai di timur dan Kepala Batas di Selatan.
Penduduknya dari kalangan pesawah dan penoreh getah. 20 peratus adalah keluarga China yang mendiami pinggir kebun getah bersempadan dengan Kg Lubuk Kawah. Mereka adalah peniaga dan usahawan.
Di kampung ini lah saya dilahirkan. Membesar sebagai budak kampung sehingga mencecah usia 19 tahun . Selepas STP, dalam bulan Julai 1978, buat pertama kalinya saya meninggalkan kampung ini serta keluarga. Berdagang mencari ilmu dunia di ITM Shah Alam ( kini UiTM).
Walaupun cuma 19 tahun saya hidup dalam persekitaran ini, namun tempuh ini menjadi paling bermakna sepanjang hayat. Memang sukar melupakan kampung ini. Penduduknya. Kawan-kawan. Pokok-pokok getah dan sawah padi. Wau daun ibus. Pohon pohon keriang, muyu, keriang dot, rumbia, stag, remia, setoi, pelam, goncag, rotan, ara, cenderai, letup, letup kelambu, pupog - semua buah-buah eksotik yang telah pupus sebahagiannya.
Keluarga saya tinggal dalam sebuah rumah kampung kuno. Dinding dibuat dari buluh yang dianyam. Atap rumbia. Tiang pokok tembusu. Rumah itu dibina di penjuru sebidang tanah milik jiran saya yang baik hati. Di hadapan rumah kami terdapat sepohon pokok asam jawa saka yang kekal sehingga harini. Di belakang pula terdapat sebatang pokok keranji sebesar tiga pemeluk dan paling tinggi dalam kampung ini.
Pada bulan September 1978 ketika balik cuti semester, pokok keranji tersebut telah tumbang, tepat menghempap rumah kami dan meranapkan samasekali bahagian anjung. Mujur semua ahli keluarga berada di dapur. Tetapi bapa saya yang berada di bawah rumah mengalami cedera agak teruk dan dirawat di hospital Alor Setar seminggu.
Masih jelas dalam ingat, emak saya pengsan dalam pelukan saya ketika jiran mengeluarkan bapa
Masih jelas dalam ingat, emak saya pengsan dalam pelukan saya ketika jiran mengeluarkan bapa
saya dari runtuhan rumah dan serpihan dahan pokok. Memang berpantang maut sebelum ajal. Apa yang menyelamatkan bapa saya ialah cabang pokok tersebut yang terbenam dalam tanah lalu membentuk satu ruang kecil dimana bapa saya tersepit. Tidak seorang pun menyangka bapa selamat kalau melihat kepada keadaan rumah yang lebur dan pokok yang besar itu.
Selain pokok asam jawa dan keranji, terdapat pokok setoi, dudog, machang, mertajam, janggus dan putat. Begitu juga buluh betong dan buluh duri. Pendek kata, kampung Telok Gelam lengkap sebagaimana sebuah kamapung Melayu tradisional.
Untuk sampai ke Kampung Telok Gelam, seseorang perlu bermula dari Pekan Tok Jalai, melalaui kem tentera, kebun getah raja dan melintasi batas sawah. Pada zaman dulu, tiada jalan tar. Jalannya denai tanah merah yang berdebu pada musim kering dan berselut pada musim hujan.
Tiada juga bekalan letrik dan air paip. Penduduk menggunakan pelita minyak tanah dan air perigi. Kalau hendak menonton TV kami akan pergi kerumah rakan-rakan di dalam kem.
Dalam persekitaran ini lah saya membesar sehingga saat meninggalkan kampung, keadaan tidak berubah. Kampung ini menerima kemajuan ketika saya dirantau orang. Saya tidak sempat melihat fasa-fasa pembangunan yang berlaku. Apabila pulang sekali sekala, saya mendapati semuanya semakin berubah. Dan hariini, perubahan amat jelas sekali - rumah kelahiran saya juga sudah tidak ada. Bekas tapaknya telah ditumbuhi semak. Yang tinggal hanya pohon asam saka - tetap seperti puluhan tahun dulu...
assalam..
ReplyDeletedalam ingat lupa
mengekori kawan mengendong adiknya
berbasikal telusuri jalanan
aspal tanah merah batas bendang
melewati
kuarters ladang getah sawah padi
khuatir sayup belakangan
kayuhan liar meledak
natijah dalam bendang
tayar depan terperosok
namun bingkas bangun mengejar destinasi
berkunjung ke rumah kawan atas kawan
masih ingat
menjulang tinggi sebatang pohon keranji
mungkin di situ
seusai tamu
kawan atas kawan
secekak limau nipis dihulurkan
menjadi kemudian basahan tekak
masam manis amat enak
terima kasih atas kenang-kenangan
abadi