Monday 4 July 2011

EPISOD PILU

Tidak semena mena angin pun bertiup. Bukan angin monsun timur laut yang sejuk kering itu. Tidak juga monsun barat daya yang ribut menggila. Angin apakah yang tiupan nya semut pun tidak melayang tetapi kesannya membekam sehingga tempoh yang lama. Membuat lamunan aku tiada hujungnya.
Aku termenung sendiri. Hendak ku adu kepada emak dan bapak, kedua nya sudah tiada. Orang orang lain mungkin tidak patut diheret bersama. Kata orang lebih baik jangan berkongsi duka dengan sesiapa. Zaman teknologi mungkin muka komputer lebih sesuai dan buleh juga menjadi kisah teladan kepada sesiapa saja yang mahu mengambil iktibar.
Aku bukanlah seorang anak yang baik. Bukan juga seorang muslim yang alim dan warak. Sungguhpun begitu aku tidak lah bebal sangat dengan sifat tamak haloba. Keinginan harta benda memang lah ada. Tapi tidak lah sampai mencantas sana sini. Memijak membenam sesiapa sahaja apatah lagi saudara sedarah sedaging.
Lalu berkata lah angin yang bertiup itu bahawa aku lah pemakan harta pusaka peninggalan kedua arwah ayahbonda ku. Membolot semuanya seorang diri dan hidup senang lenang dengan segala kemewahan di ibukota KL ini.
Hati mana yang tidak luluh. Air mata siapa yang tidak akan luruh. Jiwa mana yang tidak mengeluh. Tuduhan dan kabar ini sangat halus menyiat nyiat kalbu ku. Namun tetap kuperam supaya menjadi debu agar ia melayang berlalu. Namun ianya tidak semudah itu.
Kedua-dua ayahbonda ku tidak mempunyai walau seinci pun tanah. Mereka lah anak merdeka bumi makmur ini yang sehingga akhir hayatnya papa kedana. Hidup menumpang tanah jiran ku dalam sebuah pondok ( bukan sebuah rumah) sehingga lah kami dilahir dan dibesarkan.
Setelah bekerja, aku membeli sekeping tanah lot di kampung ku itu. Adik perempuan ku , Timah menambakkan nya kerana ia tanah bekas sawah di hujung kampung yang dibangunkan sebagai lot rumah. Aku bina sebuah rumah kampung untuk ayah bonda dan kami adik beradik bila balik bercuti. Kos pembinaannya ku dapati dari hasil jualan rumah teres dua tingkat yang aku beli dengan loan kerajaan di Bangi. Aku rasa tidak selesa hidup di rumah batu dua tingkat itu sedang kedua ibubapa duduk di dalam pondok usang di kampung.
Sebahagian lagi aku beli tanah lot dalam sebuah perkampungan pondok. Kemudian perlahan lahan aku bina rumah sendiri dengan bantuan pekerja Indonesia kerana mahu menjimatkan kos.
Setelah rumah di kampung hampir siap dan kedua ibu bapa aku mula pindah kesana aku merasa sungguh gembira. Namun kegembiraan ku tidak lama. Tidak sampai setahun merasa tinggal di tanah sendiri , ibu menyahut panggilan Ilahi. Bapa tinggal seorang di rumah tersebut tetapi akhirnya terpaksa pindah kerana ia semakin uzur. Bapa tidak mahu duduk di rumah mana mana anaknya. Akhirnya setelah berunding, bapa setuju tinggal di Changlun dekat rumah abang sulung ku dengan syarat mesti membina sebuah rumah lain untuknya.
Aku tiada pilihan. Rumah di kampung asal terpaksa dijual. Maka aku yang menguruskannya kerana semua harta itu dibeli atas nama aku. Duit penjualan rumah dan tanah itu, aku bina rumah baru untuk bapa di atas tanah abang sulung bersebelahan rumahnya di Changlun. Bapa tinggal di situ selama 10 tahu sebelum berpindah kerumah anak anaknya yang lain apabila terlalu uzur sehinggalah akhir hayatnya.
Rumah itu aku serahkan kapada abang sulung menjaganya. Abang sulung sewakan rumah tersebut dan ada juga dia beri duit sewa kepada ku. Ada ketika aku ambil ada ketika aku suruh dia belanja saja. Aku perlu kan duit tetapi aku ada banyak jalan lain mencari duit.
Demikian secara rengkasnya duduk perkara.
Tiba tiba datang angin menyapa bahawa aku pemakan harta pusaka sedangkan aku sendiri pada permulaan usia emas ini tidak ada sejengkal pun tanah. Rumah pun rumah sewa. Rumah ku telah dijual keranan tuntutan dalam arena niaga. Milik ku hanya sebuah kereta mazda tahun 1991.
Apa pun aku berterima kasih kepada pembawa kabar. Wahai angin yang bertiup, hembuslah sesuka mana pun, hakikatnya aku tetap taat dan yakin peraturan yang Dia telah tetapkan. Ingin saja aku sampaikan hadiah kepada perawi cerita tersebut sepertimana kelakuan Saidina Umar Al Khatab, tetapi makam aku amat jauh lebih rendah dari tahap itu.
Barangkali ada hikmahnya yang tidak aku ketahui, kalaupun tidak di dunia ini pasti sekali pada hari pembalasan nanti.

1 comment:

  1. Salam bang Mad,

    Bersabarlah. Begitulah resam dunia. Kan ada pepatah dan pujangga orang dulu2 dengan berbagai kata2 yang indah. Maka rupanya emosi yang sedang bergelodak dijiwa bang mad itu rupanya seperti sekapal, seperahu, setikar dengan Tuan Techno yang membawa duka lara berkelana di Bendang Kering demi mencari maruah diri. Semuanya kerana setiap lorong dan liku yang melihat peluh dan airmatanya semasa remaja membanting tulang di tanah 7 ekar sawit ayahandanya yang masih bernafas, beralih kuasa ke tangan saudara yang tamak haloba. Duit ringgit boleh dicari, kasih saudara semasa berada rupanya ya. Bertenang dan bersabarlah dengan permainan dunia. Semuanya hanya instrumen untuk menguji keimanan hamba Nya.

    ReplyDelete