Saturday 3 November 2012

RUSA DI KOTA

 

Fajar sedang menyinsing dan keretapi dengan perlahan merayapi landasan di antara blok blok batu bata yang berselerakan. Lampu lampu neon kaku kesejukan. Tidak lama selepas itu ia memasuki bangunan stesen. Di tepi dek landasan saya terbaca tulisan besar - KUALA LUMPUR. 
     Turun dari keretapi tiada siapa menunggu. Berpandukan arah publik bergerak saya membontoti mereka. Keluar melalui pintu balai ketibaan teksi teksi berbaris menunggu. 
' Kemana ?'
' ITM ' jawab saya.
Dia membuka pintu dan mempelawa saya naik. Saya pun mengusung sebuah beg besar saiz 30 inci berwarna hijau kedalam teksi. Beberapa minit kemudian saya sudah berada di dalam perut ibu kota Kuala Lumpur yang megah itu. Bangunan bangunanya tingi menujah angkasa mencakar langit . Indah berhias megah tersergam. Kenderaan mula bersusun di atas jalanraya walau hari masih awal pagi. Orang orang ibukota sangat sibuk dan lincah. Mereka bergerak seperti lipas berbeza dengan orang orang kampung saya di pagi pagi begini mereka masih berselimut kain pelikat dan duduk mencangkung di pinggir bendang.
     Sedang saya asyik mengkagumi lanskap sebuah ibukota tiba tiba teksi berhenti dan pemandunya berkata sudah sampai. Saya memerhati sekeliling. Pada pintu gerbang masuk tertera tulisan UTM. Pemandu itu membawa saya ke Jalan Gurney. Samada dia salah dengar atau sengaja hanya dia yang tahu. 
     Dia menurunkan saya di situ dengan caj tambang RM10.00. Katanya teksi dia tidak boleh keluar dari KL untuk ke Shah Alam. Dia suruh saya tahan saja teksi lain. 
     Di pinggir jalan, teksi demi teksi saya tahan tapi sebuah pun tidak mahu pergi ke Shah Alam. Saat saya mula panik dan hampir putus asa tiba tiba berhenti sebuah teksi Datsun 120Y. 
" Mana mau pegi kawan ?'
' ITM Shah Alam' saya tidak berani lagi menyebut ITM tanpa Shah Alam takut dia tersalah dengar.
' Aiya..ini teksi tak bole pigi ma..'
' Ala..kawan kasi tolong lah..saya taktau macam mana mau pi. saya baru sampai dari Kedah mau p ngaji sana la..tolong la.' saya mengharap belas kasihan Cina separuh umur itu. Dia memandang saya lama. Ada riak simpati di wajahnya.
' ok la ok la..tapi ini salah tau kalau kena tangkap habis la gua " katanya sambil membuka pintu. 
     Dalam perjalanan dia memberitahu bahawa teksi teksi yang berbumbung warna kuning dengan badannya pulak berwarna hitam dan di pintu tertulis teksi KL dalam bulatan tidak boleh keluar dari pusat bandar. Untuk pergi ke lain lain destinasi seperti Kelang atau Shah Alam penumpang perlu menaiki teksi yang berwarna merah dan bumbungnya putih serta tulisan di pintu dalam kotak empat segi. Stesen teksi out station ini berpusat di Stesen Bus Stand Kelang berhampiran Petaling Street.
    Mana lah saya tahu semua itu. Saya seolah seekor rusa memasuki kota. Di mana Bus Stand Kelang dan ke arah mana bandar Shah Alam pun saya tidak tahu. 
    Tidak lama dalam perjalanan yang agak laju saya mula terpandang bangunan tinggi bertingkat tingkat terpacak di atas bukit. Baru saya nak bertanya bangunan apa itu, drebar teksi itu memberitahu itu lah ITM Shah Alam.
      Matahari baru saja melimpahkan cahaya pagi dengan penuh keceriaan. Mengikut pandu arah tersedia akhir teksi itu sampai di perkarangan asrama Seroja. Saya membayar RM30.00 untuk perjalanan ekslusif itu. Jumlah itu mencukupi untuk tambang keretapi pergi dan balik ke utara pada era itu. Apa boleh buat dia menggadai permitnya untuk membawa saya ke sini. Mungkin boleh dianggap adil untuk urusan ini.
     Detik yang memulakan hari hari tranformasi nilai nilai hidup saya pun bermula. Kampus ini menjadi saksi nya.

2 comments:

  1. Assalamualaikum bang mad,
    Sungguh mengamit kenangan. Cerita bagus harus di kongsi. Mohon keizinan berkongsi dengan sahabat lain ><

    ReplyDelete
  2. ha ha ha dekni..tempat jatuh lagi dikenang..to be continued...

    ReplyDelete